Selasa, 28 Ogos 2007

Jgn Pisahkan Anak2 dgn Ilmu Akidah

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jangan pisahkan anak dengan ilmu akidah

Sebagai ibu bapa moden masa kini, pastinya anda bijak dan tahu tentang
peranan asas ibu bapa, namun pendidikan akidah perlu dilakukan dengan
pendekatan yang tidak formal bagi memastikan anak-anak dapat menghayati
sepenuh jiwa raga tanpa paksaan atau takutkan kepada ibu bapa itu sendiri.
Beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik akidah
anak-anak, antaranya sebagai ikutan atau role model, sebagai pendidik,
sebagai pendorong dan sebagai penyampai maklumat atau ilmu.

Ibu bapa sebagai role model

Ibu bapa merupakan role model yang paling berkesan untuk anak-anak.
Segala apa yang mereka lakukan akan dilihat dan diikuti oleh anak-anak.
Oleh itu, setiap ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik dari
segi akidah mereka terlebih dahulu. Ibu bapa yang tidak mementingkan
persoalan ini boleh menjadikan anak-anak hilang pedoman. Merekalah yang
akan menentukan arah mana yang akan menjadi ikutan anak-anak.

Pendidik tidak formal

Selain menjadi role model bagi membentuk akidah, ibu bapa juga bertindak
sebagai pendidik secara tidak formal. Pendekatan secara nyata dan tersurat
boleh digunakan dalam pendidikan akidah. Misalnya, memperkenalkan
cerita-cerita para Rasul dan orang-orang soleh untuk kanak-kanak. Begitu
juga dengan cara mendedahkan anak-anak kepada al-Quran atau tulisan jawi.
Dengan ini pegangan agama dan akidah tersemat erat dalam diri kanak-kanak.
Mereka boleh menghubungkan segala aspek kehidupan dengan pegangan akidah.

Pendorong anak-anak

Ibu bapa juga boleh bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak. Mereka
boleh menguatkan pegangan akidah dengan menyediakan segala kemudahan
pembelajaran. Begitu juga mereka boleh menjawab persoalan yang dikemukakan
oleh anak-anak dengan mewujudkan suasana mesra di dalam rumah. Ibu bapa
juga merupakan penghalang utama kepada pengaruh negatif yang mungkin
menyerang kanak-kanak daripada pelbagai sudut seperti bahan bacaan, hiburan
dan keadaan sekeliling.

Di samping itu, ibu bapa bertindak sebagai penyampai maklumat atau ilmu.
Ini kerana, ibu bapa merupakan orang pertama yang dikenali oleh
kanak-kanak. Mereka hendaklah menyampai maklumat sepenuhnya tentang Islam
terutama berkenaan akidah keimanan dan tatacara kehidupan seorang Muslim.

Jika mereka gagal menyampaikan ilmu, nasib anak-anak akan terbiar. Mereka
menjadi jahil kerana sikap ibu bapa yang tidak mengambil peduli pada
penyampaian ilmu. Ini penting kerana ilmu berkaitan akidah dan sebagainya
dipindahkan menerusi cara perkhabaran, terutamanya pada peringkat
kanak-kanak.

Pendidikan kolektif

Kanak-kanak juga perlu mendapat pendidikan secara kolektif di rumah.
Antaranya solat berjemaah, membaca al-Quran, makan bersama, lawatan ke
tempat-tempat bersejarah yang ada hubungan dengan Islam, perbincangan atau
sambutan hari kebesaran Islam. Salah satu amalan yang boleh dilakukan oleh
pihak keluarga dan sekolah untuk kanak-kanak adalah solat jemaah.

Setiap hari, pihak sekolah misalnya menyediakan suatu waktu supaya
murid-murid dapat melaksanakan amalan solat secara jemaah dengan bapa
sebagai imam. Dengan adanya amalan sedemikian, ia dapat menguatkan pegangan
akidah kanak-kanak. Amalan solat kemudiannya akan menjadi sebati dalam diri
mereka.

Membaca al-Quran

Selain itu, pihak ibu bapa dan sekolah juga perlu memperuntukkan masa
untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak. Di rumah, ibu ataupun bapa
boleh mengajar anak-anak dengan al-Quran. Ia boleh dimulakan dengan
mengajar buku Iqra' atau lain-lain buku permulaan bagi membolehkan
kanak-kanak mengenal dan kemudiannya dapat membaca al-Quran dengan lancar.

Setelah itu, mempelajari al-Quran bukan hanya terhad kepada pembacaan
semata-mata, tetapi perlu menjurus kepada pemahaman dan pengamalan
kandungannya. Pendedahan awal kepada bahasa Arab memudahkan usaha memahami
al-Quran. Dengan itu, pihak sekolah perlu berusaha supaya pendidikan bahasa
Arab diperkenalkan kepada semua murid beragama Islam.

Makan bersama

Anak-anak juga perlu dididik dengan amalan makan bersama ahli-ahli
keluarga. Di samping menikmati hidangan bersama, ibu bapa boleh menggunakan
kesempatan memberi nasihat sambil berbual-bual. Antara perkara yang boleh
dijelaskan adalah ilmu berkaitan halal haram sesuatu makanan dan minuman.
Ibu bapa boleh menjelaskan sebab-sebab ia diharamkan.

Di samping hari-hari biasa, para ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan
pada waktu berbuka puasa ketika Ramadan. Ini adalah peluang yang baik
memberi nasihat dan sebagainya. Ini kerana semua ahli keluarga berkumpul
untuk menanti waktu berbuka dan menikmati hidangan bersama.

Dalam sejarah dakwah Rasulullah, baginda pernah menjemput kaum keluarga
baginda bagi menyampaikan seruan Islam. Oleh itu, masa makan sepatutnya
digunakan sebaik-baiknya untuk menanam ajaran Islam terutama akidah dan
nilai-nilai murni.

Lawatan ke tempat bersejarah

Satu lagi aktiviti yang boleh dijalankan oleh ibu bapa ialah lawatan ke
tempat bersejarah. Hal ini bertepatan dengan ajaran al-Quran yang
menganjurkan umatnya mengembara ke merata tempat bagi mengambil pengajaran
dan menambah pengalaman hidup.

Anak-anak tidak sepatutnya dibiarkan terperap di dalam rumah sehingga
membantutkan akal dan pemikiran mereka. Kata orang, banyak berjalan banyak
pengalaman. Oleh kerana lawatan sebegini memerlukan perbelanjaan dan juga
masa, ia perlu dirancang terlebih awal begitu juga dengan pengisiannya.

Berbincanglah

Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk berbincang dengan anak-anak dan
berusaha mewujudkan suasana perbincangan dalam keluarga. Pendekatan
sebegini akan memudahkan kanak-kanak meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Sambutan hari besar

Meraikan sambutan hari-hari penting dalam kalendar Islam seperti Hari
Raya Puasa atau Hari Raya Korban, permulaan puasa bulan Ramadan, tahun baru
Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya boleh mengeratkan hubungan anak-anak
dengan Islam. Ia juga boleh membentuk jati diri anak-anak apabila kuatnya
tautan mereka dengan ajaran agama.

0 ulasan:

Design by Dzelque Blogger Templates 2007-2008